Nuffnang!

Wednesday, October 12, 2011

Tiada rebat cukai 20% buat Nasi Lemak 2.0

Tiada rebat cukai 20% buat Nasi Lemak 2.0

By Nor Azliany Mohamad | Cinema Online



11 Okt - Filem kontroversi "Nasi Lemak 2.0" tidak dapat menikmati insentif penolakan cukai sebanyak 20% sebagaimana diterima oleh kebanyakan filem tempatan Malaysia yang lain kerana filem tersebut gagal mendapat status Skim Wajib Tayang.

Dipetik daripada Daily Chilli, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah mengesahkan bahawa filem "Nasi Lemak 2.0" tidak layak mendapat status Wajib Tayang kerana pandangan prejudis terhadap Namewee yang merupakan pengarah dan pelakon filem tersebut.

"Filem "Nasi Lemak 2.0" menerima tanggapan prejudis kerana Namewee pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini," kata Mohd Naguib Razak, Ketua Pengarah Finas.

Tambah beliau, "Disebabkan itu, filem baru yang menggalakkan perpaduan dan memupuk semangat 1Malaysia kini menghadapi kesusahan".

Penerbit Eksekutif kepada filem yang telah berjaya mendapat kutipan RM4.5 juta selepas dua minggu tayangan ini, Fred Chong memberitahu telah membuat rayuan, tetapi gagal.
"Namewee bukan penerbit file mini. Dia hanyalah seorang penulis skrip, pelakon dan pengarah. Saya penerbit filem ini dan saya tidak pernah mencetuskan kontroversi," ujar Chong.

"Kami akan memberi penjelasan dengan lebih lanjut lagi berkaitan dengan perkara tersebut. Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz telah memberikan sokongan beliau dan berkata "Nasi Lemak 2.0" adalah sebuah filem 1Malaysia," tambahnya lagi.

Walaupun kutipan sebenar sejak hari pertama filem ini ditayangkan pada bulan September masih belum diketahui, Chong mengakui cukai 20% itu penting buat mereka.
"Cukai 20% tersebut adalah sejumlah wang yang banyak buat kami kerana kami hanyalah produksi kecil dalam industri filem tempatan ini," kata Chong lagi.
Selain Nameweek, filem bergenre komedi ini turut dibintangi oleh Karen Kong, Afdlin Shauki, Dato' David Arumugam, Reshmonu, Nadine Ann Thomas, Adibah Nor, Pete Teo dan Ho Yuhang dilaporkan bersetuju dengan pemotongan bayaran lakonan memandangkan filem itu dibuat dengan peruntukan kurang daripada RM 1 juta.

Terdahulu Cinema Online telah melaporkan bahawa Golden Screen Cinemas (GSC) telah menghentikan tayangan filem "Nasi Lemak 2.0" kerana saluran Astro First telah membeli dan mendapatkan hak bagi menayangkan filem tersebut dalam format definisi tinggi.

"Kami tidak menghalang penonton ke panggung wayang. Astro First adalah platform yang baik untuk menayangkan filem-filem tempatan di saluran televisyen selepas beberapa minggu ianya ditayangkan di pawagam.

"Kami turut menerima komen daripada orang ramai terutama bagi yang sudah berkeluarga, menyatakan bahawa susah bagi mereka untuk ke panggung wayang kerana mempunyai anak kecil," akhiri Chong.


No comments: